Thursday, September 24, 2015

ILMU

PENTINGNYA ILMU DI DALAM KEHIDUPAN...

Imam Ghazali berkata: “Ilmu tanpa amal adalah gila dan pada masa yang sama, amalan tanpa ilmu merupakan suatu amalan yang tidak akan berlaku dan sia- sia.”
Kenapa wajib tahu ilmunya? Kerana kalau kita mengerjakan sesuatu tidak tahu ilmunya, maka pekerjaan kita tidak ada nilainya dan tidak diterima oleh Allah SWT. Dalam kitab Zubad karangan Ibn Ruslan dikatakan: wa kullu man bi ghairi ilmin ya’malu // a’maluhu mardudatun la tuqbalu. Setiap orang yang mengamalkan sesuatu tanpa ilmu // maka amalnya ditolak, tidak diterima. Itu namanya amal-amalan, bukan amal yang sesungguhnya. Jelas, kan?
Itu sebabnya, Islam mewajibkan umatnya untuk menuntut ilmu. Rasulullah SAW bersabda "mencari ilmu itu wajib bagi setiap kaum muslim". Dasar kewajiban ini, kerana Islam menginginkan umatnya mengerjakan sesuatu berlandaskan ilmu yang diketahuinya, sehingga apa yang dikerjakan sesuai dengan Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW. Sebab, ilmu tanpa amal ibarat pohon tak berbuah dan amal tanpa ilmu sama halnya perbuatan yang sia-sia.
Ilmu semata-mata masih belum dapat menjauhkan diri kita daripada maksiat, kerana ilmu yang tidak diamalkan tidak akan mampu menolong manusia melarikan diri daripada melakukan maksiat selama-lamanya.
Di samping itu, ilmu yang ada juga masih belum mampu mendorong kita untuk taat kepada Allah s.w.t. Ini kerana beramal dan taat kepada Allah itu datangnya daripada kesedaran diri bahawa ia akan menghadapi maut suatu hari nanti.
Seseorang itu juga tidak mampu menjauhkan dirinya daripada api neraka hanya dengan bergantung kepada pencapaian hidup dan ilmunya semata-mata.
Ia hendaklah diikuti dengan amalan yang didasari dengan ilmu yang telah dipelajarinya.
Apabila kita tidak beramal dengan ilmu yang ada pada diri kita, kita sudah tentu tidak dapat melepasi perhitungan Allah pada Hari Akhirat kelak.
Janganlah sampai kita menjadi orang yang menyesal dan meminta dikembalikan semula ke dunia, suatu perkara yang tidak mungkin terjadi. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah as-Sajdah ayat 12 yang bermaksud :
Wahai Tuhan kami, kami telah melihat kebenaran di hadapan mata kami, kami telah mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan perkara yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia agar kami mengerjakan perkara yang baik-baik. Sesungguhnya kami sekarang telah yakin.
Maka pergunakanlah masa di dunia ini sebaik- baiknya dengan menuntut ilmu dan beramal dengannya, dan jauhilah sikap hanya berbangga- bangga dengan amalan sedangkan ilmunya tiada.
DAN INGATLAH!!!

Ilmu itu cahaya daripada Allah, 
Memancar keluar melahirkan amal, 
Memancar ke dalam menzahirkan iman. 
Bagai alam tanpa sinar mentari, gelap pekat hilanglah indah, sirnalah seri, begitulah hati tanpa ilmu, kontanglah ia daripada petunjuk ILAHI. Buta mata tanpa cahaya, buta hati tanpa ilmu.
“Ilmu itu cahaya, jahil itu kegelapan..”
Amal tanpa ilmu binasa. Si jahil akan derhaka dalam taat, tertipu dalam ibadat. Sedangkan orang berilmu dapat beribadat dalam tidurnya.
Bak kata Prof Dr. HAMKA,
“Mati jasad kerana tiada roh, mati roh kerana tiada ilmu, mati ilmu kerana tiada amal, mati amal kerana tiada ikhlas”
Ilmu adalah pelita hati, memancar cahayanya ke dalam menambah iman, memancar ke luar membuahkan amal. Ilmu itu penghias lidah. Orang berilmu bila bersuara, kata-katanya indah, penuh hikmah. Diamnya fikir, suaranya zikir.
Pencari ilmu bagaikan mujahid di medan jihad, tinta ulama setimbang darah syuhada. Jika pedang mujahid memancung kemungkaran dan kebatilan, pena ulama membanteras kejahilan!
Saidina Ali pernah berkata,
“Pena itu lebih tajam daripada mata pedang”
Si miskin menjadi mulia dengan ilmu, si kaya jatuh kerana ketandusan ilmu. Harta akan habis jika dibelanjakan tetapi ilmu semakin bertambah jika diamalkan.
Seseorang akan tetap menjadi alim selama dia terus menerus belajar. Apabila dia telah tertipu dalam sangkaan bahawa dia telah pandai, sedang hakikatnya dia adalah bodoh.
Setitis ilmu Allah adalah lautan pada kedangkalan otak manusia. Jika diraut pohon di seluruh benua, dijadikan tinta, tidak akan terdaya kita menulis kalam tuhan. Semakin dibincangkan, semakin dalam pengertian. Semakin dibongkar rahsia, semakin berliku misterinya.
Imam Syafie berkata,
“Semakin bertambah ilmuku, terasa semakin banyak yang aku tidak tahu...”
Burung-burung di awan, pasir-pasir di persisiran pantai dan di gurun yang gersang, ikan dan siput yang berjuta banyaknya, unggas yang menghuni rimba, turut serta mendoakan insan bergelar penuntut ilmu. Kerana langkahnya, menuju madrasah ilmu, ertinya menuju keredhaan Allah.
Imam Al-Ghazali pula berkata,
“Gunung ilmu adalah pendakian pertama seorang hamba menuju TUHANNYA..”
Tatkala menyingkap pula sejarah silam utusan-Nya, wahyu pertama diturunkan berbunyi,
“IQRA’...” yang membawa maksud, bacalah!
Tapi, mengapa wahyu menyuruh Rasulullah saw membaca sedangkan baginda seorang yang ummi (tidak tahu membaca)? 
Hakikatnya, 'baca' di sini bukan bermaksud membaca apa yang bertulis, tetapi apa yang tidak bertulis. Perkara yang tidak bertulis adalah yang tersirat jauh lebih banyak, yang tidak semua manusia mampu 'membacanya'. 



Maka, ayat lengkap wahyu tersebut ialah "اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ" yang bermaksud: 

"Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan". 

Jadi, ilmu yang kita ada semestinya perlu sampai kepada hakikat ketuhanan. Kalau belum, maka tidak sempurnalah ilmu itu. 
Rasulullah S.A.W. telah bersabda : 



العلم علمان : فعلم في القلب فذالك هو العلم النافع ؛ وعلم على السان فذالك حجة الله على ابن آدم 


"Ilmu itu ada dua jenis : Ilmu yang ada dalam hati (disertakan amal), maka itulah yang bermanfaat; dan ilmu (yang hanya) berada di atas lidah (tanpa diamal), maka itulah ilmu (yang menjadi) hujjah Allah (untuk mendakwa kesalahan) terhadap anak Adam".


- [Riwayat Ibnu Syaibah dan Al Khatib] 



Kata Imam Ghazali RahimahulLah Ta’ala : 

- "Ilmu yang memberi manfaat itu ialah ilmu yang menambahkan perasaan takutmu kepada Allah; 
- Ilmu yang menambahkan celik mata hatimu terhadap keaiban-keaiban dirimu; - Ilmu yang menambahkan ibdahmu kepada Tuhanmu ‘Azza wa Jalla dengan sebab makrifatmu kepadaNya; - Ilmu yang mengurangkan gemar kasihmu kepada dunia;




  • - Ilmu yang menambahkan gemar kasihmu kepada akhirat;
  • - Ilmu yang membukakan pandangan mata hatimu terhadap kebinasaan-kebinasaan segala amalmu sehingga kamu dapat memeliharakan dirimu daripadanya; - Ilmu yang menampakkan kepada kamu segala perdayaan syaithan dan tipuannya".

    [Bidayatul Hidayah] 


    Maka, bacalah dengan nama tuhanMu yang menciptakan. Atas niat kerana Nya semata.
    Bacalah dengan hati yang tawaduk, dengan rasa rendah diri akan keaiban-keaiban diri.
    Ilmu umpama air yang bertakung yang hanya bertakung di tempat yang rendah.
    Maka, marilah kita bersama-sama berusaha mencari ilmu untuk mendapat keberkatan di dalam  kehidupan ini selagi masih bernafas...

    Friday, September 18, 2015

    AL-QURAN PEMACU DIDALAM KEHIDUPAN



    Al-Quran adalah kalam Allah yang diturunkan melalui malaikat Jibril s.a.w kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w sejak lebih 1400 tahun yang lalu sebagai petunjuk dan pedoman bagi manusia, khususnya umat Islam dalam mengatur kehidupan.

    Perkara ini dapat dilihat dengan jelas melalui firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud:


    "(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan yang bathil)"...


    Berdasarkan ayat tersebut, telah dibuktikan dalam sejarah bahawa sejak al-Quran diturunkan, ia telah berjaya mengubah sejarah manusia yang dikenali sebagai umat jahiliyah yang hidup tanpa sebarang peraturan dan sistem akhlak sehingga menjadi umat yang terbaik dan dicontohi dalam segala bidang.


    Kita sedia maklum bahawa tujuan utama al-Quran diturunkan adalah untuk mengesakan Allah s.w.t dan menjalani kehidupan mengikut landasan yang benar. Di samping itu, al-Quran menganjurkan umatnya supaya menyuburkan nilai akhlak dalam kehidupan termasuklah nilai kasih sayang sesama manusia, hormat menghormati, toleransi, keadilan dan keamanan yang merupakan nilai-nilai sejagat serta sesuai dengan kehendak fitrah manusia itu sendiri.


    Kerana itulah, kandungan al-Quran mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia termasuklah kerohanian, akidah, akhlak, perundangan dan pelbagai panduan hidup untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Justeru itu, tuntutan memahami dan menghayati ayat-ayat al-Quran dan membudayakan al-Quran dalam kehidupan adalah kesuatu kewajipan yang tidak perlu dipertikaikan lagi kerana al-Quran itu sendiri jelas mempunyai hubung kait dengan kehidupan manusia.


    Selain meyakini bahawa al-Quran merupakan kitab pedoman umat Islam yang perlu diterjemahkan melalui penghayatan dalam diri dengan nilai-nilai yang terkandung di dalamnya bagi melahirkan umat cemerlang dan terbilang, umat Islam juga dituntut untuk mengikuti sunnah rasul iaitu bukti nyata terhadap usaha dalam merealisasikan (melaksanakan) Al-Quran yang diamanahkan Allah. Hal ini telah dibuktikan sendiri oleh Rasulullah s.a.w selama 23 tahun Baginda memimpin umat Islam berpandukan al-Quran.


    Ajaran al-Quran amat bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia, bukan sahaja mampu membangun kekuatan rohani malah juga menggerakkan secara aktif kekuatan fizikal dan mental, sehingga umat Islam pada zaman kepimpinan Rasulullah s.a.w, zaman kepimpinan Khulafa ar-Rasyidin dan sesudahnya berjaya mencipta satu tamadun kegemilangan yang merentasi zaman di mana Islam mampu memimpin hampir tiga perempat dunia.


    Tetapi sayangnya tidak semua yang mahu dan bersedia mengikut ajaran Al-Quran atau terdapat segelintir umat Islam yang masih tidak mahu beramal dengan Al-Quran, mereka hanya membaca Al-Quran tetapi tatalaku kehidupan seharian mereka bertentangan dengan ajaran Al-Quran, mereka mendengar Al-Quran, tetapi memekakkan telinga dengan tidak menghayati tuntutannya, mereka memahami isi kandungannya, tetapi tidak mahu melaksanakan ajarannya, mereka mengetahui kebenaran Al-Quran, tetapi mereka masih tidak takut untuk melanggar kebenaran tersebut bahkan sanggup memperkecilkan janji dan azab Allah s.w.t.


    Justeru, disebabkan kegagalan segelintir umat Islam dalam menghayati dan menterjemahkan ajaran al-Quran dalam kehidupan mereka secara tidak langsung telah menyumbang kekeliruan kepada penganut agama-agama lain terhadap Islam, malah lebih malang lagi kepada umat Islam itu sendiri. Kerana apabila mereka tidak mematuhi ajaran al-Quran, mereka dengan sendirinya mengikut jejak langkah syaitan.


    Satu perkara lagi yang perlu dihayati kita semua penurunan al-Quran sebenarnya telah memberi nilai tambah dan membina kualiti pembangunan modal insan melalui penghayatan al-Quran, sekali gus akan meletakkan diri dalam golongan yang disebut sebagai اَلْمُحْسِنِيْن iaitu orang-orang yang suka melakukan kebaikan.


    Di samping seruan supaya menghayati nilai-nilai yang terkandung dalam al-Quran, terdapat seruan agar ayat-ayat al-Quran dikaji dan diteliti kerana ia mampu menghasilkan ilmu pengetahuan bagi kehidupan manusia yang disebut sebagai “أولى الألباب“. Dan ini telah dibuktikan oleh ilmuan-ilmuan Islam dalam mencipta dan menghasilkan penemuan-penemuan baru dalam bidang seperti ilmu falak atau astronomi, ilmu perubatan (Tib), ilmu kimia, ilmu hisab atau algebra dan sebagainya. Begitu juga mereka mengkaji tumbuh-tumbuhan, mengkaji alam binatang, bahasa pertuturan, dan lain-lain lagi. Ilmuwan-ilmuwan seperti Ibnu Rusyd, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, al-Khawarizmi, al-Kindi dan lain-lain adalah merupakan nama-nama besar dalam sejarah kecemerlangan umat Islam suatu ketika dahulu.


    Namun kecemerlangan dan ketamadunan yang dipelopori oleh umat Islam dahulu hanya tinggal kenangan. Ianya tiada kesinambungan yang dapat diwarisi oleh umat Islam kini. Segala-galanya perlu dipelajari semula dari kemajuan dan kemodenan barat. Hal ini tidak dapat dinafikan lagi dan puncanya kerana kesilapan umat Islam itu sendiri kerana asyik bergelumang dengan konflik dan perbalahan sesama sendiri, hidup berpuak-puak, tidak ada semangat kesatuan dan akhirnya menjadikan umat Islam begitu lemah, hilang daya saing dan segala kekuatan, di mana akhirnya umat Islam dijajah.


    Kesimpulannya, kita seharusnya menyedari bahawa penurunan al-Quran sebenarnya membawa dimensi baru dalam melahirkan ummah yang cemerlang seperti di masa lalu. Kecemerlangan itu telah terbukti dan dibuktikan oleh generasi lampau dan ianya bukan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan pada hari ini.

    Thursday, September 17, 2015

    FITRAH MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH


    APA ITU FITRAH ?

    FITRAH, watak dan bakat adalah tiga perkara yang berbeza. Walaupun semuanya sama-sama merupakan sifat batiniah insan, namun ada perbezaan yang jelas di antara ketiga-tiganya. Kita perlu mengetahui akan pengertian dan fungsi tiap-tiap satunya, supaya kita dapat melatih dan menggunakannya tepat dengan kehendak ALLAH. Dengan izin dan pengajaran dari ALLAH, saya akan cuba mengupas ketiga-tiga perkara ini dengan jelas, insya-ALLAH.

    FITRAH
    Fitrah ertinya sifat batin semulajadi, yang dibekalkan oleh ALLAH ke dalam diri setiap manusia sejak azali lagi. Fitrah wujud bersama lahirnya tubuh kasar manusia ke dunia. Ia terus menjadi sifat manusia tanpa melalui proses berguru atau pengalaman. Cuma ia tidak cukup subur semasa manusia masih bayi. Ia beransur-ansur subur bersama kesuburan yang dialami oleh jasad lahir manusia.

    Contoh-contoh sifat fitrah ini ialah takut, sayang, simpati, marah, dendam, benci, gembira, dengki, megah, sedih dan lain-lain lagi. Rasa-rasa fitrah ini bukannya diperolehi di mana-mana sekolah atau dari mana-mana guru. Ia sudah sedia ada. Ia menjelma dalam kalbu manusia di waktu manusia itu berhadapan dengan keadaan yang tertentu.

    Rasa takut datang ketika berhadapan dengan perkara yang hebat dan menggerunkan. Rasa sayang terasa di hati ketika bertemu orang yang berjasa padanya. Rasa simpati atau belas kasihan datang ketika melihat orang susah atau teraniaya. Rasa marah terasa bila ada orang mengganggu atau mencacatkannya. Rasa dendam datang bila ada orang lain menyusahkan dirinya atau kaum keluarganya. Rasa benci terasa bila ada orang menghinanya. Rasa jijik menjelma bila berhadapan dengan najis atau kekotoran. Rasa terhibur atau gembira masuk ke hati di waktu berhadapan dengan kesenangan atau kejayaan. Rasa dengki atau tidak senang datang ketika berhadapan dengan kesenangan orang lain. Rasa megah menghantui hati di waktu beroleh kejayaan dan kemenangan.Rasa sedih datang bila berhadapan dengan kegagalan, kemiskinan dan kesusahan.

    Sekali lagi, rasa-rasa yang menjelma silih berganti ke dalam hati itu, bukannya didapati hasil berguru atau pengalaman. Ia adalah semulajadi. Ia wujud bersama lahirnya manusia ke dunia. Itulah fitrah. ALLAH SWI` berfirman:

    Terjemahannya: " Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (ALLAH); tetaplah atas fitrah ALLAH yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah ALLAH. Itulah agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. "(Ar Rum: 30).

    Berdasarkan contoh-contoh sifat semulajadi yang ada pada manusia itu, kita dapat membahagikan fitrah kepada dua bentuk iaitu:
    i. Positif (sifat-sifat baik)
    ii. Negatif (sifat-sifat jahat)

    ALLAH SWT menentukan bahawa setiap manusia dibekalkan dengan sifat semulajadi yang baik dan yang buruk.
    Hal ini adalah untuk menguji manusia, siapakah yang baik dan siapa pula yang tidak. ALLAH berfirman:
    Terjemahannya: " Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebaikan dan jalan kejahatan)." (Al Balad: 10)
    Firman-Nya lagi:
    Terjemahannya: " Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang membersihkan hatinya (nafsunya) dan rugilah orang yang mengotorinya. "(Asy Syams: 9 - 10)

    Antara sifat-sifat jiwa yang positif ialah :
    1. Rasa terhutang budi atau ingin membalas budi dan berterima kasih pada orang yang berjasa.
    2. Simpati atau belas kasihan kepada orang susah dan teraniaya.
    3. Rasa cinta kebaikan dan kebenaran.
    4. Rasa bertuhan yakni mahu menyembah Tuhan, memohon pertolongan dan mengingatinya     diwaktu susah.
    5. Rasa malu dengan perkara-perkara yang aib.
    6. Rasa ingin membela atau menolong pihak yang benar.
    7. Rasa bersalah bila terbuat kejahatan.

    Antara sifat-sifat jiwa yang negatif ialah :
    1. Rasa megah atau sombong dengan kejayaan dan keistimewaan.
    2. Rasa marah terhadap orang yang menyusahkan atau menghina.
    3. Rasa dendam terhadap orang yang buat jahat pada kita.
    4. Rasa takut.
    5. Dengki dengan kelebihan orang lain dan gembira dengan kegagalan mereka.
    6. Tamak dengan dunia; tidak pernah cukup atau tidak puas.
    7. Ingin lebih, ingin dipuji.
    8. Rasa rendah diri dengan kekurangan diri.
    9. Benci dengan makhluk yang hina dan lemah.

    Sifat-sifat yang positif yang ALLAH bekalkan pada manusia itu, ALLAH perintahkan agar ia disuburkan, dididik dan diamalkan dalam kehidupan. Untuk itu ALLAH gariskan panduan syariat tentang bagaimana sifat-sifat yang baik itu boleh disuburkan dan dijadikan akhlak diri dan sikap hidup.

    Sebaliknya terhadap sifat-sifat yang negatif ALLAH perintahkan ianya dikikis dari jiwa dan tidak diamalkan dalam kehidupan. ALLAH juga menunjukkan cara bagaimana mujahadah membuangnya boleh dilakukan.

    Dan yang paling penting disini untuk saya tekankan ialah fitrah kita sebagai manusia/hamba kepada Allah S.W.T ialah kita hidup diatas muka bumi ini mestilah berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Kenyataan ini saya sertakan bersama Hadis Rasullulah S.A.W :

    "ku tinggalkan untuk kamu dua perkara (pusaka), taklah kamu akan TERsesat selama-lamanya,selama kamu masih berpegang teguh kepada kedunya, iaitu kitabullah dan sunah Rasul-Nya". (Hadis riwayat Muslim).